Latar Belakang

Sejarah

Pusat Pembangunan Masyarakat (Community Development Centre) diwujudkan pada Mei 1968 dengan tujuan meneliti masalah-masalah serta menggkaji keperluan rakyat di negeri ini. Pusat yang dikenali sebagai CDC ini diletakkan di bawah Jabatan Ketua Menteri dan bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan Negeri, dan Persekutuan dalam memberi sinar baharu kepada masyarakat luar bandar yang jauh ketinggalan dari segi pembangunan.

Pada awalnya, bangunan Pusat Pembangunan Masyarakat terletak di Tanjung Aru. Pada 31 Julai 1972, bangunan Pusat Pembangunan Masyarakat yang baharu diletakkan di Jalan Sanzac Sembulan, dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-2, YAB Tun Haji Abdul Razak bin Dato Hussein.

Sejajar dengan pembangunan yang semakin pesat di negeri ini, Pusat Pembangunan Masyarakat dinaiktaraf kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat pada 1 Januari 1980. Jabatan ini masih diletakkan di bawah Jabatan Ketua Menteri sehingga Mei 1986 di mana Jabatan tersebut diletakkan di bawah kendalian Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Luar Bandar. Jabatan ini memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri khususnya pembangunan sosio ekonomi di negeri ini dengan penekanan terhadap tanggungjawab masyarakat luar bandar yang menjadi agen pemangkin pembangunan negara.

Demi memastikan program-program pembangunan di kawasan luar bandar negeri ini dirancang dan dilaksanakan seara berperingkat dan efektif, Jabatan Kemajuan Masyarakat diberi nama baharu, Jabatan Pembangunan Luar Bandar (JPLB), pada Februari 1995. Sesungguhnya cabaran yang diberi bukan calang-calang apatah lagi memainkan peranan sebagai agen penyelaras program-program pembangunan di kawasan luar bandar dengan bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan demi memastikan semua program dan projek pembangunan di kawasan luar bandar dapat dilaksanakan dan hasilnya dapat dinikmati secara maksima oleh kumpulan sasar.

Sejarah dilakar sekali lagi pada 17 November 1995 di mana Kementerian Pembangunan Luar Bandar diwujudkan. Penggabungan fungsi-fungsi seperti Pusat Pembangunan Masyarakat, Pentadbiran Daerah, dan Unit Pembangunan Masyarakat menjadi satu intipati penting dalam misi memastikan program-program yang disasarkan di kawasan luar bandar dapat dilaksanakan secara efektif dan terancang. Peranan Kementerian pada awalnya melibatkan pentadbiran daerah, pembasmian kemiskinan, kemudahan awam, pembangunan ekonomi desa, pemodenan desa, serta perancangan, kajian dan latihan.

Sesungguhnya, Kementerian ini telah banyak menempuh cabaran dan onak duri dalam menjalankan amanah bagi memastikan masyarakat di kawasan luar bandar tidak ketinggalan dalam merasai arus pembangunan. Walaupun pernah ditukar nama kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Keusahawanan (KPLBK) buat sepenggal bermula dari tahun 1999, Kementerian ini akhirnya dikekalkan dengan nama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bermula dari tahun 2005 sehingga ke saat ini. Demi melaksanakan amanah yang diberi, Kementerian ini akan terus berusaha menjadi peneraju utama dalam menyejahterakan masyarakat luar bandar di negeri ini agar dapat bergerak maju ke hadapan ke arah Sabah Maju Jaya.

Sumber:

  1. Buku Cenderamata Perasmian Dewan Pembangunan Rakyat serta Penutupan Kursus Jahit Menjahit dan Pembantu Rumah pada 12 Disember 1980 oleh YAB Datuk Harris Mohd Salleh, Ketua Menteri Sabah. Diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Luar Bandar.
  2. Community Development Centre, Chief Minister Department Sabah Kota Kinabalu. Ditulis oleh Roger L. Ongkili, Pengarah Pusat Pembangunan Masyarakat Sabah.
  3. Borneo Trade (www.sabah.com.my/borneotrade/c2i.htm)